Thursday 9 June 2016

PENILAIAN IMPAK ALAM SEKITAR (EIA)


PENILAIAN IMPAK ALAM SEKITAR (EIA)

KEFAHAMAN TENTANG EIA
Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) adalah suatu kajian untuk mengenalpasti, meramal dan menghuraikan akan kebaikan dan keburukan sesuatu cadangan projek pembangunan yang menuntut keperluan adanya hubungan komunikasi di antara pihak-pihak terlibat iaitu masyarakat setempat, pemaju dan pihak berkuasa bagi melicinkan keadaan. Selain itu, menurut Muhammad Rizal R dan Kadir A (2002), EIA juga merupakan satu kajian mengenalpasti, meramal, menilai dan mendapatkan informasi melalui komunikasi yang dibuat terhadap pihak-pihak terlibat, yang mana ianya berkaitan dengan kesan terhadap alam sekitar yang berpunca dari cadangan projek pembangunan serta menyenaraikan langkah-langkah mitigasi sebelum projek pembangunan berkenaan diluluskan dan beroperasi.

PRINSIP EIA

Perspektif Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) telah menetapkan beberapa prinsip asas dengan tujuan untuk melindungi alam sekitar melalui cara pencegahan. Menurut Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, dalam rujukan 499: Ordinan Impak Alam Persekitaran, No. 1/2002. prinsip-prinsip asas PIAS adalah seperti berikut:-
Prinsip satu ialah perancangan proaktif dan menetapkan keputusan. Proses EIA adalah alat perancangan proaktif untuk mengelak masalah yang timbul dan kesan persekitaran yang menyebabkan kerugian pada awalnya atau pengalaman yang pernah dialami dalam pembangunan yang dirancang.
Prinsip dua ialah penghindaran dan pencegahan persekitaran buruk yang timbul. Menurut Scott Wilson Ltd. (1996), proses EIA bertujuan untuk mengelak dan mencegah kesan persekitaran yang buruk melalui projek yang dicadangkan dan yang dirancang.
Prinsip tiga ialah memberi kesan positif terhadap keputusan yang dibuat seawal yang mungkin dan berfikiran proaktif tentang pilihan dan alternatif yang terbaik. Menurut Sadler B (1996), ini sangat penting untuk memudahkan setiap usaha bagi meningkatkan prestasi persekitaran yang ingin dicapai pada tahap awal projek perancangan kemudian pada tahap seterusnya iaitu projek pembangunan untuk hasil yang memuaskan.
 Prinsip empat ialah proses projek kitaran sepanjang hidup. Proses EIA haruslah melibatkan suatu tindakan yang dinamik untuk mengenalpasti dan meramal kemungkinan kesan persekitaran yang akan buruk daripada pembangunan yang telah dirancang bagi mengembangkan langkah-langkah untuk mengelak, mencegah dan mengurangkan masalah persekitaran.
Prinsip lima ialah membuat cadangan penguatkuasaan EIA. Cadangan EIA haruslah rasional, praktikal dan berkesan, dengan memberi maklumat tentang 5W ( seperti : apakah tindakan yang akan dilaksanakan, oleh siapa, bila, di mana dan mengapa) dan dengan definisi yang jelas mengenai tanggungjawab untuk melaksanakan langkah-langkah yang dicadangkan. Tindakan yang dicadangkan haruslah mudah bagi mengelakkan masalah persekitaran yang merugikan daripada berlaku.Prinsip enam ialah fleksibel yang telus, dengan penyertaan awam serta kemampuan untuk mengadaptasi perubahan. Proses EIA haruslah telus dan mengutamakan penyertaan awam.

KEPENTINGAN EIA

1      Memberi suatu rumusan yang tepat terhadap tindakan di dalam perancangan pembangunan.
Menurut J. Glasson et.al (1995), perkembangan EIA dengan pesat di serata dunia dalam aspek pengurusan alam sekitar menyebabkan pemaju merasakan EIA menjadi penghalang dalam menjayakan sesuatu projek pembangunan kerana terpaksa menunggu kesemua proses EIA selesai tanpa menyedari sebenarnya EIA membantu mereka mencari keputusan tepat terhadap tindakan dalam perancangan daripada berlakunya impak negatif alam sekitar. Menurut Muhammad Rizal R dan Kadir A (2002), pemaju,penduduk setempat dan pihak berkuasa dapat berbincang bagi mendapat rumusan yang tepat tanpa memberi kesan keburukan kepada alam sekitar, misalnya dalam projek pembinaan Empangan Kelau, Raub, Pahang yang telah disebarkan secara meluas di akhbar tempatan dan dipamerkan di tempat strategik selama sebulan untuk mendapatkan maklum balas dan ulasan daripada orang ramai serta 30 taklimat diadakan di antara orang asli dan pihak pengendali projek disamping pemberian pampasan satu banglo, enam ekar tanah dengan milik individu dan enam ekar tanah untuk buah-buahan di Sungai Bilut seluas 800 ekar yang menelan belanja RM37 bilion setelah mendapat persetujuan 85.4 peratus ketua isirumah orang Asli Kampung Temoi serta elaun bulanan berjumlah RM638 selama 48 bulan dan ganti rugi RM1.5 juta untuk bangunan, tanah, sayur-sayuran dan lain-lain sebelum dirujuk kepada lapan pakar yang telah dilantik oleh Jabatan Alam Sekitar sebelum diluluskan pada 24 Feb 2001 menurut Mohd Zawawi dalam akbar Bernama 27 Ogos 2010.

2     Kaedah dan cara untuk ke arah pembangunan yang berterusan
Menurut Muhammad Rizal R. dan Kadir A. (2002), EIA memainkan peranan sebagai suatu kaedah dan cara bagi menggelakkan masalah pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada aktiviti-aktiviti pembangunan yang dijalankan oleh pihak pemaju Pembangunan yang berterusan perlu bagi memelihara alam sekitar daripada gangguan dan pencerobohan oleh pencemaran. Menurut Laporan Brundtland 1987 dalam Muhammad Rizal R. dan Kadir A. (2002) mendefinisikan pembangunan yang berterusan sebagai “pembangunan yang memenuhi kepada kehendak keperluan di masa sekarang tanpa mengancam keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka”.
Satu contoh kajian kes ialah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menggunakan EIA sebagai panduan untuk menjalankan pembangunan di kawasan tersebut. Pihak berkuasa iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menetapkan beberapa kriteria-kriteria tertentu sebelum pihak pemaju mahu membuat pembangunan di kawasan tersebut. Kawasan yang menjadi perhatian utama pihak DBKL ialah di kawasan bukit dan cerun. Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar (2010), garis panduan yang telah disediakan haruslah dipatuhi oleh semua pihak terutamanya agensi pelaksana, pemaju, dan pihak awam sebagai panduan dalam merancang, membangun dan menyelenggara tapak-tapak di kawasan bukit dan cerun serta kawasan sekitarnya garis panduan tersebut meliputi beberapa skop iaitu garis panduan ini diguna pakai untuk semua tapak pembangunan yang terletak di WPKL, garis panduan ini diguna pakai oleh DBKL semasa mempertimbangkan dan membuat penilaian ke atas permohonan kebenaran perancangan yang dikemukakan melalui Urus Setia Pusat Setempat (OSC) DBKL dan garis panduan ini hanya melibatkan permohonan-permohonan baru yang belum memperoleh kelulusan pembangunan.

3     Menjadi sumber maklumat informasi
Menurut Muhammad Rizal R. dan Kadir A. (2002), EIA juga memberikan tindakan-tindakan alternatif bagi mengatasi kesan-kesan negatif terhadap alam sekitar Maklumat-maklumat yang didapati daripada EIA boleh digunakan oleh pihak pemaju untuk mengelakkan pencemaran alam sekitar yang serius dengan mengubah kaedah pembangunan yang sedia ada kepada lebih mesra alam. Orang ramai juga dapat mengetahui situasi semasa mengenai alam sekitar yang berada di sekeliling mereka dengan maklumat yang telah disediakan. Contohnya jika berlaku tanah runtuh di kawasan pembinaan yang dikelilingi oleh rumah orang ramai, ini boleh menyebabkan kemalangan jiwa jika masyarakat di kawasan tersebut tidak tahu mengenai perkara tersebut. Oleh itu, betapa pentingnya EIA ini untuk memberi informasi. Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar (2010), contoh kes kajian ini ialah di WPKL yang memerlukan maklumat yang tepat dalam ketinggian bukit dan cerun yang hendak dibangunkan perkara ini perlu dipandang dengan serius kerana pihak berkuasa ingin mengelakkan bahagian-bahagian sensitif di kawasan tersebut terganggu yang akan menyebabkkan pencemaran alam sekitar.

4     Unsur-unsur analisis dan penilaian ekonomi EIA
Menurut Megat Kamil Azmi (2010), EIA when integrated into the existing planning and dicision making structure provides additional information towards a better decision making. Jadi ini jelas bahawa melalui maklumat yang didapati melalui EIA dapat membantu pemaju-pemaju menjimatkan wang dan masa. Terdapat sesetengah pihak cuba memberikan pendapat dan penilaian mereka sendiri mengenai EIA yang kadang kala memerlukan prosedur yang merumitkan. Contohnya, pihak pemaju mendapati bahawa kos bayaran Fees Perkhidmatan Laporan EIA yang dikenakan oleh pihak jurutera di Malaysia adalah tinggi berbanding dengan bayaran fees bagi penyediaan laporan EIA di negara lain. Hal ini dapat dilihat berdasarkan maklumat daripada sebuah syarikat pemaju, Cas Fees Laporan EIA di Malaysia adalah 3 kali ganda lebih tinggi berbanding dengan Cas Fees Laporan EIA yang sama disediakan di negara Indonesia atau di negara Thailand. Malah daripada aspek dalaman di Malaysia, kadar bayaran fees ini berbeza-beza mengikut tempat bagi projek pembangunan yang sama. Pihak pemaju juga merasa terkilan kerana kadar bayaran fees khidmat yang tinggi ini tidak menjanjikan kelulusan dari pihak jabatan-jabatan kerajaan. H. Apabila keadaan ini berlaku, pihak pemaju terpaksa mengeluarkan sejumlah kos lagi sama ada untuk melantik jurutera lain atau jurutera yang terlibat untuk menyediakan laporan EIA semula. Menurut Mohd Nadzri Jaafar (1998), dari segi penilaian ekonomi ini juga, kita dapat lihat bahawa laporan EIA ini juga agak merumitkan kerana syarat-syarat yang dikenakan sehinggakan boleh berlakunya peningkatan kos kepada pihak pemaju. Misalnya, syarat pelupusan buangan sisa tumbuhan dan binaan hendaklah dibuang di tapak pelupusan yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan, sedangkan tapak pelupusan tersebut terletak jauh berpuluh-puluh kilometer mengakibatkan kos pengangkutan yang tinggi perlu dikeluarkan oleh pihak pemaju. Begitulah senario yang dapat dilihat mengenai rasa tidak puas hati pihak pemaju mengenai laporan EIA yang agak merumitkan dan memerlukan prosedur yang terperinci. Menurut Arthur Getis (2009),in sprawling urban industrial societies, the cultural landscape has come to outweigh the natural physical environment in its on people’s daily lives.Sememangnya pembangunan yang dicipta hari ini memerlukan kawalan agar masalah alam sekitar tidak berlaku.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, EIA ataupun Environment Impact Assessment merupakan suatu kaedah yang berkesan yang mampu menjadi wadah atau medium bagi membuat penilaian sesuatu projek pembangunan itu sama ada sesuai dilaksanakan ataupun tidak berdasarkan penilaian kepada kesan alam sekitar. Semua pihak sama ada pemaju, Jabatan-jabatan yang terlibat dan masyarakat harus berganding bahu bagi memastikan suatu pembangunan itu bersifat lestari alam agar alam sekitar kita terpelihara dan menjamin kehidupan yang sejahtera.

No comments:

Post a Comment

SUSU MAAEZ

Yeayyyy.. dah lama tak menaip. okeh kalini umi nak share tentang produk SUSU MAAEZ. Sebabnya dah jatuh cinta dengan susu nih. Sehar...